Latar belakang Marcus_Junius_Brutus

Ayah Marcus Brutus, seorang ahli politik yang tidak begitu penting, mempunyai nama yang sama. Ibunya, Servilia Caepionis, ialah kakak tiri Cato Lebih Muda dan perempuan simpanan Julius Caesar. Sesetengah sumber merujuk kepada kemungkinan Caesar sebagai ayahnya yang benar, tetapi ini tidak mungkin kerana Caesar hanya berumur lima belas tahun pada masa kelahiran Brutus, dan hubungan cinta Caesar dengan ibunya hanya bermula lebih kurang sepuluh tahun kemudian. Adalah dipercayai Brutus merupakan cucu-cicit Lucius Junius Brutus, seorang wira Rom yang lampau yang berjaya menjatuhkan Raja Rom yang terakhir. Quintus Servilius Caepio, bapa saudara Brutus, mengambilnya sebagai anak angkat ketika Brutus merupakan seorang pemuda, dan Brutus menambah kognomen kepada nama sendiri.

Kerjaya politik Brutus bermula ketika beliau menjadi pembantu Cato, semasa Cato menjadi gabenor Cyprus. Semasa itu, Brutus memperkayakan diri dengan meminjam wang kepada orang-orang yang terdesak dengan kadar bunga yang tinggi. Dari kemunculannya yang pertama di Senat Rom, Brutus bersepakat dengan Optimat (puak konservatif) terhadap Perintahan Bertiga Pertama yang terdiri daripada Marcus Licinius Crassus, Pompey, dan Caesar. Beliau mempunyai setiap alasan untuk membenci Pompey yang membunuh ayahnya pada tahun 77 SM semasa pengharaman oleh Lucius Cornelius Sulla.

Ketika perang saudara bermula pada tahun 49 SM antara Pompey dan Caesar, Brutus mengikut Pompey, pemusuhnya yang lama dan ketua Optimat yang terkini. Selepas kecelakaan Perang Pharsalus, Brutus menulis kepada Caesar untuk meminta maaf dan Caesar mengampunkannya dengan segera. Caesar menerimanya ke dalam golongan dalamannya dan melantiknya sebagai gabenor Gaul ketika beliau bertolak ke Afrika untuk mengejar Cato dan Metellus Scipio. Pada tahun yang berikut (45 SM), Caesar mencalonkan Brutus sebagai praetor.